IBADAH UMRAH..sebelum, semasa dan selepas
(Berdasarkan pengalaman Hj Rose Ady Hj Ramli)
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Pertama-tamanya marilah kita mengucapkan salam serta
berselawat keatas junjungan Nabi kita Nabi Muhamad saw yang mana beliau adalah
sebaik-baik insan yang dianugerahkan Allah kepada umat ini.
Perbanyakkanlah penglafasan rasa syukur …alhamdulillah
kerana kita semua telah dilahirkan sebagai seorang Islam dan dapat merasai
nikmat Iman dan Islam kerana tanpanya maka teramat rugilah kita lahir didunia
dan diakhirat.
Oleh kerana terdapatnya beberapa orang sahabat yang akan
mengerjakan ibadah umrah pada tahun ini, terasa ingin saya berkongsi sedikit
pengalaman tatapan para pembaca sekelian terutamanya mereka yang pertama kali
akan mengerjakan umrah ditanah suci.
Dengan ilmu dan pengalaman yang amat sedikit ini, ingin saya
kongsi bersama sahabat-sahabat serta pembaca beberapa tips apabila kita hendak
menunaikan ibadah umrah ditanah suci.
Tips-tips ini lebih berbentuk persediaan menunaikan ibadah
tersebut hasil dari pengalaman saya mengerjakan Haji dan Umrah. Semoga dengan
titipan nukilan ini dapat membantu persediaan dan perjalanan sahabat-sahabat.
dan semoga Allah meredhai serta memberikan ganjaran yang setimpal dengan ibadah
kita.
Saya bahagikan tips-tips ini kepada tiga
perkara iaitu;
Persediaan sebelum pergi menunaikan umrah
Semasa berada di tanah suci (Mekah dan Madinah)
Selepas kembali menunaikan umrah.
a. Persediaan Sebelum Pergi Menunaikan Umrah
Latih diri kita mendekati masjid ditempat kita tinggal.
Sekiranya dahulu kita sering solat dirumah,
biasa-biasakanlah solat berjemaah di masjid.
Sekiranya terdapatnya majlis-majlis ilmu, rajin-rajinkanlah
langkah kaki kita hadir dimajlis yang dihadiri para malaikat ini kerana
majlis-majlis ini akan melembutkan hati kita…insyallah.
Perbanyakkanlah Solat Sunat.
Solat sunat seperti solat sunat hajat, solat sunat taubat
dan solat sunat tahajud adalah bertujuan untuk membersihkan diri kita dari
dosa-dosa lampau yang banyak telah kita lakukan. Ia juga membantu kita
bermunajat kepadaNya dan memohon keampunan dan taubat diatas
perbuatan-perbuatan kita yang lalu dan moga-moga Allah mengampuni kita.
Juga ia adalah tempat kita memohon perlindungan agar
dipermudahkan perjalanan pergi dan balik mengerjakan ibadah malah memohon
keselamatan kepada ahli keluarga yang bakal kita tinggalkan sepanjang
perjalanan.
Perbanyakkan membaca Al Quran.
Selain daripada pahala yang kita perolehi dari membacanya,
ia amat bermunafaat kerana apabila kita berada ditanahsuci selain dari ibadah
umrah, pembacaan al-Quran adalah sesuatu yang amat digalakkan dan sekiranya
dapat kita mengkhatam alQuran dalam masa ibadah tersebut adalah menjadi satu
kebaikan kepada kita.
Bacalah buku-buku berkenaan umrah, Madinah dan Mekah.
Pembacaan ini akan membantu kita apabila kita menjalani
ibadah tersebut. Buku-buku seperti cara-cara mengerjakan ibadah umrah serta
“Travelog Haji” tulisan Prof Muhamad Kamil Ibrahim akan membuka minda dan
naluri kita sebelum kita berada ditanah suci.
Buatlah Latihan Fizikal.
Latihan fizikal seperti berjalan kaki sejauh purata 3 - 4
km, 2 kali seminggu adalah persediaan yang terbaik untuk membiasakan diri kita
yang rata-rata akan menggunakan tenaga semasa pergi dan balik keMasjid,
melakukan tawaf serta saie (Saie dari Safa ke Marwah adalah lebih kurang 420
meter dan yang mengerjakan Saie akan berulang alik sejauh 2, 940 meter
bersamaan lebihkurang 3 km). Ingatlah latihan ini adalah ikhtiar kita kerana
yang menentukan kekuatan dan tenaga itu adalah dariNya. Latihan ini elok dimulakan
2 atau sebulan lagi keberangkatan kita kesana.
b. Semasa Berada DiTanah Suci Mekah dan Madinah
Sikap dan Mentaliti.
Berada di bumi yang diberkati ini memerlukan kita fokus
dalam ibadah kita seharian. Diantara sikap dan mentaliti yang utama yang perlu
kita terapkan adalah sifat sabar dalam banyak perkara terutama hubungan dengan
Allah dan manusia kerana disinilah kita akan berjumpa dengan sekelian manusia
dari seluruh pelusuk dunia ini dengan pelbagai ragam menurut adat serta
peradaban mereka.
Sifat sabar ini merangkumi semua aspek terutamanya apabila
kita mula menjejakkan kaki kita di Lapangan Terbang Jeddah atau Madinah, cara
layanan kaunter Imigresen, sikap mat-mat bangla yang membantu mengangkat
luggage jemaah dan mengenakan tips yang cukup tinggi (kalau boleh tolaklah
sendiri trolley), pengangkutan, kebersihan, hotel tempat tinggal samada jauh
atau dekat dari masjid, makanan yang kita makan, sikap masyarakat Arab yang
kadangkalanya kasar dan kadangkalanya sombong, adab-adab didalam masjid yang kadangkala
akan benar-benar menguji kesabaran kita.
Kesabaran juga berbentuk hubungan kita dengan suami atau
isteri atau anak atau ahli jemaah kita sendiri. Ada kalanya pergaduhan suami
atau isteri berlaku dan sebagainya.
Jauhilah sikap suka merungut akan sesuatu yang berlaku.
Anggaplah ia sebagai ujian dari Allah swt yang mahu melihat akan tahap
kesabaran kita.
Persoalan-persoalan Mengenai Ibadah Umrah.
Walau berapa kali pun kita telah menjejakkan kaki kita ke
tanah suci, perkara-perkara yang kita tidak berapa faham atau mushkil, tanyalah
kepada para mutawif atau ustaz atau ustazah yang mengiringi kita. Kadangkala
apabila disana, terpandang oleh kita jemaah-jemaah lain yang datangnya dari
Turki, Iran, China, India atau Pakistan berbuat sesuatu yang lain dari apa yang
kita buat. Janganlah kita membuta tuli mengikuti cara mereka contoh adakalanya
semasa solat fardu mereka bersama-sama isteri mereka solat sebelah menyebelah
suami isteri dikawasan jemaah lelaki. Kita pun sebab takut isteri kita hilang
atau berjauhan dengan mereka, kita pun berbuat demikian. Nampaknya seperti
dibolehkan tetapi tanyalah kepada ustaz untuk mendapat kepastian. Lakukanlah
ibadah umrah dengan hati yang ikhlas, tenang dan sabar.
Ungkapan Lisan dan Hati.
Dalam bab ini, saya ingin merujuk kembali mengenai
persediaan kita sebelum berangkat iaitu dengan kita selalu solat
taubat, solat hajat dan beberapa solat sunat lagi ia membantu menmbersihkan
hati kita apabila kita berada di tanah suci.
Adakalanya hati berdetik berkenaan sesuatu, sesuatu itu akan
berlaku tanpa kita sedari. Kebanyakkan detik hati pada isu keburukan malah
apapun perbuatan yang mendatangkan rasa riak, sombong mestilah dijauhi.
Kadangkala hanya dengan pengucapan kita, ”jangan takut..tak hilang seliper tu
kalau letak kat situ”, ada kalanya betul-betul hilang selipar itu.Sekiranya
kita tersedar dari perkara-perkara ini, berisgtifarlah dan memohon keampunan
dariNya.
Kepentingan Doa Dalam Setiap Perkara.
Doa amat memainkan peranannya dalam aspek kehidupan kita
lebih-lebih lagi apabila berada ditanah suci Mekah dan Madinah. Setiap apa
kesusahan atau perkara-perkara yang hendak kita lakukan, berdoalah dengan
seyakin-yakin doa, insyallah Allah akan memakbulkan seperti contoh kita mahu
melakukan tawaf diwaktu puncak. Sebelum memulakan, berdoalah supaya
dipermudahkan, insyallah akan dipermudahkan ibadah tersebut.
Aktiviti Didalam Masjid.
Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah 2 masjid tersuci
pada umat Islam. Setelah beribu batu datang dari Malaysia dan
membayar beribu ringgit untuk sampai kesana maka pergunakalah masa yang ada
untuk membuat ibadah umrah, solat berjemaah dimasjid dan berikhtikaf
didalamnya kecuali ditimpa musibab seperti demam atau tidak berupaya kemasjid.
DiMasjidil Haram, gunakanlah masjid untuk beribadah
sepenuh-penuhnya seperti tawaf sunat, solat sunat, membaca al Quran, melihat
Kaabah (melihat Kaabah mendapat pahala disisi Allah). Kadangkalanya kita akan
berikhtikaf dimasjid bermula dari waktu maghrib ke Isyak, kadang-kadang dari
waktu Asar sehingga Isyak. Semasa kita berikhtikaf ini, lakukanlah
perkara-perkara seperti tawaf sunat, membaca al Quran, solat sunat, bersedekah
seperti mengambilkan air zam-zam untuk diberikan kepada jemaah berdekatan.
Itulah diantara sebabnya pada tips persediaan untuk
menunaikan umrah itu saya selitkan faktor seperti menjinakkan diri kita dengan
menghadiri majlis ilmu agar kita dapat berikhtikaf dimasjid ditempat tinggal
kita. Dengan demikian tidaklah terasa kekok atau akan berputar persoalan
dikepala apa nak buat dalam masjid sementara menunggu waktu Asar
sehingga Isya.
Apabila di Masjid Nabawi, ingatlah supaya kita perlu
meletakkan tertib kita lebih tinggi apabila berada didalam masjid terutamanya
apabila kita berbual-bual. Didalam sirah Nabi saw, perkara ini dinyatakan agar
kita tidak menninggikan suara kita dan terdapat ayat al Quran
tersebut yang diletakkan diatas dinding Makam Nabi saw apabila kita menziarahi
makam beliau.
Semasa berada ditanah suci, janganlah kita melakukan sebarang
perlakuan kurafat yang membolehkan gugurnya akidah.
Lawatan Ziarah .
Turutilah lawatan-lawatan dan ziarah ini agar kita dapat
memahami keperitan, kesusahan, tahap keimanan mereka yang terdahulu iaitu
mereka yang bersama-sama Rasulullah saw memperjuangkan Islam.
Kesihatan.
Untuk menjalankan ibadah-ibadah ditanah suci ini amat
memerlukan kudrat. Sekiranya permergian kita itu diwaktu musim panas,
disarankan perbanyakanlah minum air kerana air zam-zam dimasjid ada
disetiap laluan atau tiang agar kesihatan terpelihara walaupun padaNya kita
berserah.
c. Selepas Kembali Menunaikan Umrah.
Semasa Perjalanan Balik.
Dalam perjalanan (pergi/)balik ini ada diantara jemaah yang
tertinggal solat fardunya. Cuba elakkan ini daripada berlaku dalam perjalanan
kita. Islam itu mudah, kita boleh solat dimana-mana.... dalam kapalterbang, di
tempat menunggu di airport dan sebagainya selagi mana kita yakin tempat itu
bersih.
Solat Sunat Dua Rakaat Dan Majlis Kenduri
Setelah kapalterbang mendarat diKLIA, dalam perjalanan balik
kerumah, jangan lupa untuk solat 2 rakaat dimana-mana masjid atau surau yang
berdekatan dengan rumah kita sebelum kita melangkah kedalam rumah.
Sebaik-baiknya semasa pulang ini kita adakan majlis kenduri dirumah kita semasa
hari sampainya kita dirumah. Ini adalah beberapa adab yang saya perolehi dari
beberapa ustaz apabila kita pulang dari menunaikan umrah
3. Istiqamah
Beristiqamahlah kita selepas mengerjakan
umrah ini dengan selalu berjemaah di surau atau masjid dan menghadiri majlis
ilmu agar hubungan kita denga Allah itu tidak putus ditengah jalan.
Begitulah sedikit coretan dari pengamatan saya sebagai insan
yang kerdil dalam agama Allah ini melalui pengalaman saya menunaikan Haji dan
Umrah.
Semoga apa yang saya loretkan ini akan menambahkan rasa
ketaqwaan dan rasa kemanisan iman agar kita terus beristiqamah mengerjakan
apa-apa yang disuruhNya dan meninggalkan yang dilarangNya.
Yang baik itu datangnya dari Allah swt manakala
sekiranya terdapat kesilapan dalam nukilan saya ini adalah kerana kurangnya
ilmu serta pemahaman saya terhadap ilmu agama ini.
Semoga ia memberikan menafaat kepada sahabat-sahabat yang
akan mengerjakan ibadah umrah pertama kali dan saya berdoa agar sahabat-sahabat
yang pergi menunaikan ibadah itu mendapat umrah yang mabrur dan mabrurah.
Ingatlah bahawa pemergian insan ketanah suci itu adalah
jemputan dariNya maka bersihkanlah hati dan jauhilah perkara-perkara yang boleh
mensyirikkan Allah swt. Amatilah apa yang terkandung dalam lafaz kita;
Labaik Allahumma Labaaik, labaaik Laa Syarika Laka Labaaik
Inal Hamda Wan Ni’mata Laka Wal Mulka La Syarikalah….
Ikhlas dari,
Hj Rose Ady Hj Ramli
Bandar Baru Bangi
19 Safar 1433
13 Januari 2012
No comments:
Post a Comment