DEAR VISITOR,


"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bermakna aku yang terbaik dalam kalangan kamu. bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya akan dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan." - Hassan al Basri

Kita usaha yang terbaik, Semoga Allah terima amal-amal kita =)

Mar 14, 2012

.CINTA & HIDAYAH.

Saya melihat satu bicara mula tersebar dari kalangan Facebookers, yakni kata-kata:

"Ramai yang berusaha keras untuk mendapatkan jodoh yang baik, sedangkan jodoh telah ditentukan.

Tetapi tidak ramai yang berusaha keras untuk mendapatkan hidayah Allah SWT, sedangkan hidayah Allah itu perlu dicari."

Saya sebenarnya melarang keras penyebaran kata-kata ini dengan beberapa dalil.

1 - Ini adalah satu bicara yang jelas rapuh, serta memberikan makna yang salah berkenaan takdir Allah SWT. Mengapa saya katakan begitu? Kita pergi kepada point saya yang kedua.

2 - Hal ini kerana, apabila kita memasuki teritori 'takdir Allah SWT', maka di dalam kehidupan ini, telah di'tetap'kan semua perkara sebenarnya. Semua ini bermaksud, termasuklah Jodoh, termasuklah Hidayah Allah SWT. Namun kata-kata yang disebarkan ramai ini nyata memberikan maksud seakan-akan jodoh itu telah ditetapkan, maka tidak perlu berusaha terlalu keras, sedang hidayah Allah itu belum tentu kita dapat, maka hendaklah fokus ke arah itu semata-mata. Ini nyata silap.

Hakikatnya, kedua-duanya telah ditentukan. Ditetapkan. Tinggal, antara rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada manusia adalah, kita 'TIDAK TAHU' apa ketetapanNya. Itulah dia ruang 'ikhtiar' dan 'usaha' yang diberikan Allah SWT kepada manusia. Maka hendak jodoh yang baik pun kena usaha keras juga, nak dapat hidayah Allah SWT pun kena usaha keras juga.

3 - Kata-kata tersebut nyata mengelirukan, seakan-akan hendak menyatakan bahawa, di dalam isu jodoh, tidak perlunya usaha. Ini adalah kefahaman yang sangat silap, sebagaimana silapnya orang-orang yang berkata: "biarlah aku menanti jodohku yang termaktub di lauh mahfduz sana".

Hal ini kerana, Islam menganjurkan usaha yang syar'ie. Jelas apabila Allah SWT berfirman di dalam ayat 221 Surah Al-Baqarah, dan Rasulullah SAW bersabda dalam hadith ciri-ciri perempuan yang patut diambil sebagai isteri, itu adalah petanda kepada perlunya 'mencari', perlunya 'memilih'. Sekiranya telah ditetapkan, sekiranya tidak perlu kepada usaha keras, maka tidaklah perlu Allah SWT berfirman sedemikian, dan tidak perlulah Rasulullah SAW bersabda sedemikian.

Tanpa saya menafikan, hidayah Allah SWT turut kita perlu usaha keras untuk mendapatkannya.

4 - Ada yang berkata bahawa ayat ini bukanlah bermaksud jodoh tidak perlu berusaha, tetapi fokusnya adalah agar kita berusaha keras mencari hidayah Allah SWT lebih dari usaha kita dari jodoh. Tetapi suka saya nyatakan dengan tegas bahawa, kebaikan itu perlu disampaikan sebaiknya. Sedang ayat di atas, mungkin difahami maknanya segelintir orang, tetapi bila sampai kepada ramai orang, maka akan berubahlah maknanya kepada: "Oh, jodoh dah tetap. Hidayah tak. Jodoh tak payah usaha. Hidayah kena." Dan ini nyata satu kesilapan yang besar dan sangat fatal.

5 - Point kelima ini adalah sebuah nasihat. Saya tahu kebiasaan masyarakat kita, lebih-lebih lagi mereka yang agak 'islamik' untuk suka kepada 'ayat-ayat idealistik' dan suka pula menyebarkannya. Tetapi janganlah kita terlalu teruja, hingga melangkaui teritori yang tidak sepatutnya. Pada saya, ayat yang disebarkan di atas ini, melangkaui teritori Aqidah, dan cara ta'ammul(berurusan) yang silap terhadap jodoh di dalam kehidupan manusia.

Jadi saya suka kita memahami perkara ini,
dan berhentilah dari menyebarkannya.

---------------------------------------------------
Teringat pepatah melayu,
"Buat baik berpada-pada. Buat jahat jangan sekali."

credit to: HILAL ASYRAF :)

No comments: