DEAR VISITOR,


"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bermakna aku yang terbaik dalam kalangan kamu. bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya akan dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan." - Hassan al Basri

Kita usaha yang terbaik, Semoga Allah terima amal-amal kita =)

Apr 20, 2013

Bukan Kerja Kita Promosi Keaiban

Posted by Imam Muda Asyraf on April 1st, 2011

Perundangan Islam diturunkan bukan untuk menghukum. Namun untuk mendidik. Disebabkan itulah Islam amat menitik beratkan perlindungan terhadap insan yang menemui pintu taubat. Dalam Islam, keaiban manusia bukanlah dianggap sesuatu yang perlu diketengahkan. Malah ianya ditutup serapat yang mungkin kerana itulah sifat rahmat Allah SWT. Setiap orang mempunyai keaiban dan tidak ada seorang pun yang terlepas dari melakukan kesalahan.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui.”(Surah An-Nuur: 19)

Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW :

Rasulullah SAW bersabda, “Setiap daripada kamu adalah orang yang berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat.”( HR Ahmad)

Setiap manusia tidak terlepas dari keaiban. Samada diketahui oleh orang lain mahupun menjadi rahsia diri sendiri. Namun, Allah itu berkuasa menutup keaiban hamba-hambaNya. Ia juga berkuasa membukanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat. (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Segala maksiat manusia disekeliling kita perlulah dicegah. Kita membenci segala perbuatan maksiat. Namun kita tidak membenci orang yang melakukan maksiat tersebut. Apatah lagi melaknat orang tersebut. Ini kerana Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, dalam menghadapi sesuatu kemungkaran membezakan antara perbuatan dan si pembuat. Diterangkan bahawa perbuatan tersebut adalah salah supaya pembuatnya berhenti dan ia tidak diikuti oleh orang ramai. Ada pun terhadap pembuatnya, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menangguhkan sebarang hukuman sehingga diperhatikan tiga syarat berikut:



Ditegakkan hujah kepadanya, iaitu mengemukakan dalil dan hujah bahawa apa yang dilakukan adalah satu kemungkaran. Kemudian dibersihkan salah fahamnya, iaitu dalil dan hujah tersebut diberi dalam bentuk penerangan yang jelas bagi membersihkan apa-apa kekeliruan yang mungkin dihadapi olehnya apabila melakukan kemungkaran tersebut. Akhirnya Islam mempertimbangkan sama ada dia melakukan kemungkaran tersebut dalam suasana sedar dan rela, atau dalam suasana terpaksa, tersilap atau tidak mampu untuk mengelaknya.

Demikian sikap hati-hati Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam membezakan antara perbuatan dan pembuat.

‘Umar al-Khaththab RA menerangkan bahawa pada zaman Rasulullah SAW terdapat seorang lelaki yang bernama ‘Abd Allah. Dia lazim (berjenaka) sehingga membuat Rasulullah SAWtertawa. Nabi SAW pernah merotannya (sebagai hukum hudud) kerana kesalahan minum arak.

Pada satu hari dia dibawa menghadap baginda atas kesalahan yang sama, lalu dikenakan hukuman rotan. Melihat yang sedemikian berkata seorang lelaki: “Ya Allah! Laknatlah dia! Betapa banyak kali dia telah dibawa menghadap Rasulullah atas kesalahan yang sama!” Namun Nabi SAW menjawab:

Jangan melaknatnya! Demi Allah! Aku tidak tahu bila ternyata dia mengasihi Allah dan Rasul-Nya. (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6780 (Kitab al-Hudud, Bab berkenaan membenci laknat kepada orang yang minum).

Berlaku beberapa kes dalam zaman Nabi SAW yang menunjukkan bahawa Islam bukan semata-mata untuk menghukum. Namun ia juga sebagai produk dalam mendidik jiwa. Manusia yang paling arif berkenaan hukum Allah SWT iaitu Nabi SAW. Namun terdapat kisah bagaimana proses berlakunya pelaksanaan hukum hudud yang melalui proses menutup keaiban terlebih dahulu.

Hadits dari Nu’aim bin Hazzal : “Ma’iz bin Malik adalah seorang yatim dibawah asuhan bapakku. Lalu dia berzina dengan seorang budak dari suku itu. Maka bapakku berkata kepadanya, “Pergilah kepada Rasulullah SAW, lalu beritahulah kepada baginda apa yang telah engkau lakukan. Semoga beliau memohonkan ampun untukmu”.Bapakku menghendaki hal itu karena berharap Ma’iz mendapat penyelesaian.



Maka Ma’iz mendatangi Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah berzina. Maka tegakkanlah kitab Allah atasku”. Lalu baginda Nabi SAW berpaling darinya. Kemudian Ma’iz mengulangi dan berkata, “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah berzina. Maka tegakkanlah kitab Allah atasku”. Maka baginda berpaling darinya. Kemudian Ma’iz mengulangi dan berkata, “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah berzina. Maka tegakkanlah kitab Allah atasku”. Sampai dia mengulanginya empat kali.

Rasulullah SAW bersabda, “Engkau telah mengatakannya empat kali. Lalu dengan siapa ?. Dia menjawab, “Dengan si Fulanah”. Lalu beliau bersabda, “Apakah engkau berbaring dengannya?”. Dia menjawab, “Ya”. Lalu beliau bersabda, “apakah engkau menyentuh kulitnya?”. Dia menjawab, “Ya”. Lalu beliau bersabda, “Apakah engkau bersetubuh dengannya?”. Dia menjawab, “Ya”. Maka Rasulullah SAW memerintahkan untuk

merejamnya. Kemudian dia dibawa keluar ke Harrah (Nama tempat di luar kota Madinah). Tatkala dia direjam, lalu merasakan lemparan batu. Dia berkeluh kesah, lalu dia keluar dan melarikan diri. Maka Abdullah bin Unais mengekorinya. Sedangkan sahabat-sahabatnya yang lain telah lelah. Kemudian Abdullah mengambil tulang betis unta, lalu melemparkannya, sehingga dia membunuhnya. Lalu dia mendatangi Rasulullah SAW dan menceritakannya kepada baginda. Maka beliau bersabda, “Tidakkah kamu membiarkannya, kemungkinan dia bertaubat, lalu Allah menerima taubatnya!” (kisah lengkap pada Sahih Muslim no.4206)

Menurut Syeikh Islam Ibn Taimiyyah, Nabi SAW sebenarnya sedang berusaha agar hukuman rejam ke atas Ma’iz itu tidak berlaku. (Majmu Fatawa 16/31) Ini menunjukkan kepada kita bahawa banyak ruang yang boleh ditutup keaiban tersebut, maka hendaklah kita menutupnya. Disebabkan kita sendiri yang membukanya, maka berlakulah pengadilan Allah SWT terhadap hambaNya.

Sabda Rasulullah SAW : Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah. sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla.(Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.)

Maksiat itu bukanlah suatu yang perlu dipromosikan. Ini kerana jika ianya sering dicanang merata maka ianya menjadi suatu kebiasaan. Maksiat itu ada bezanya. Ada maksiat secara tertutup dan ada juga maksiat secara terbuka. Maksiat secara tertutup perlulah ditutup serapatnya. Namun maksiat secara terbuka perlulah digerakkan tindakan dalam mencegahnya. Kita bimbang apabila maksiat itu dianggap biasa, maka ianya sebenarnya sedang memanggil azab Allah. Maksiat secara terbuka adalah satu dosa purba dahulu kala yang sudah dimodenkan.

Kisah kehancuran kaum Nabi Lut AS dirakamkan di dalam surah al-Ankabut ayat 29 maksudnya : Adakah patut bagi kamu mendatangi lelaki ( homoseksual) dan menyamun di jalan raya dan kamu membuat kemungkaran di tempat-tempat pertemuan kamu. Maka tidaklah ada jawapan kaumnya melainkan bahawa mereka berkata : Datanglah kepada kami azab Allah itu, jika sungguh engkau dari orang-orang yang benar.

Al-Isfahani di dalam kitab al-Mufradat fi Gharib al-Quran menceritakan bahawa maksud perkataan ‘naadiy’ dalam ayat ini adalah tempat manusia berkumpul. Iaitu mereka kaum Nabi Luth melakukan maksiat di tempat secara terbuka.

Manakala Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya mengatakan bahawa : “Kaum Luth melakukan maksiat dan berbicara sesuatu yang tidak wajar di tempat pertemuan mereka yang mana mereka berkumpul disitu dan langsung tidak mengingkari perbuatan mungkar antara satu sama lain.

Kisah Nabi Luth ini menggambarkan kepada kita, sekiranya suatu maksiat itu dianggap ‘biasa’ maka ianya sama seperti kita mencabar Allah SWT untuk menurunkan azabnya.

Kesimpulannya disini, maksiat secara terangan dan terbuka perlu kita cegah dan bukan dipromosikan. Walaupun terdapat sebahagian pendapat yang membenarkan kita mengumpat si pelaku maksiat secara terbuka, namun ianya masih atas dasar bukan menghukum. Tetapi mencari titik proses didikan. Perbuatan maksiat perlu dibezakan dengan si pembuat maksiat. Namun sekiranya maksiat itu suatu yang tersembunyi maka menutupnya adalah lebih baik. Kepada pelaku maksiat, sekiranya terdapat sejarah kisah dosa lama sewaktu muda, maka kepada Allah kita memohon keampunan. Dan sembunyikan kisah itu dari habuan telinga manusia.



Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA ia berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Seluruh umatku akan diampuni dosa-dosa kecuali orang-orang yang terang-terangan (berbuat dosa). Di antara orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang yang pada waktu malam berbuat dosa, kemudian di waktu pagi ia menceritakan kepada manusia dosa yang dia lakukan semalam, padahal Allah telah menutupi aibnya. Ia berkata, “Wahai fulan, semalam aku berbuat ini dan itu”. Sebenarnya pada waktu malam Tuhannya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi justru pagi harinya ia membuka aibnya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah.” (Muttafaq ‘alaih HR Bukhari dan Muslim).

No comments: